Memuat judul…

Oleh Memuat… | Memuat…

Apabila berbicara tentang kanak-kanak, dunia mereka tidak tertakluk kepada pengertian bermain dan bersuka ria. Setiap kanak-kanak mestilah berhak untuk memperolehi pendidikan yang baik bagi pertumbuhan kognitif mereka. Namun, bagi komuniti di sebuah kepulauan kecil sekitar Pasifik, permukaan geografi telah menjadi tembok halangan utama yang memisahkan mereka untuk mendapatkan hak kesamarataan. Menurut laporan Pacific Islands Literacy and Numeracy Assessment (PILNA) 2021 yang telah diterbitkan oleh Pacific Community SPC, pencapaian literasi dan numerasi di rantau ini masih berada di kedudukan rendah berbanding piawaian serantau. Implikasi ini membentuk suatu persoalan tentang keadilan akses pendidikan untuk anak-anak yang terpisah jauh oleh hamparan lautan yang luas.

Menelusuri bentuk muka bumi kepulauan menjadi salah satu penyebab terhadap kos penghantaran yang tinggi dan tidak menentu untuk bahan-bahan pendidikan. Penghantaran buku teks, alat tulis, serta alat bantu mengajar ke sekolah luar bandar di Vanuatu dan Solomon Islands sangat bergantung kepada pengangkutan laut yang terhad jadualnya dan sering berhadapan dengan cuaca buruk. Dalam laporan Raising Pasifika 2023 oleh World Bank, disahkan bahawa kos penyampaian perkhidmatan asas di Pasifik, termasuk urusan pendidikan, merupakan antara yang tertinggi di dunia. Faktor saiz ekonomi yang kecil, populasi yang bertaburan, dan jarak antara pulau yang sangat jauh menjadikan banyak sekolah berhadapan dengan kekurangan bahan bacaan yang serius. Masyarakat tanpa buku yang mencukupi dan bersesuaian mengalami kesukaran untuk menguasai kemahiran membaca, terutama bagi kanak-kanak peringkat awal. Hal ini menjurus kepada jurang pembelajaran yang semakin besar dan mencabar.

Ketika mendepani pelbagai kekurangan sumber, semangat penduduk di Pasifik tidak mudah berserah kepada takdir. Di Wilayah Temotu, Solomon Islands, World Vision menganjurkan program literasi sejak 2016 dengan penglibatan komuniti di Kepulauan Reef dan Santa Cruz. Program ini melatih penduduk tempatan sebagai sukarelawan untuk mengajar membaca dan menulis menggunakan pendekatan bahasa Pijin dan bahasa ibunda setempat. Strategi ini terbukti berkesan kerana apabila bahan dan pengajar datang daripada komuniti sendiri, kepercayaan serta penyertaan masyarakat meningkat.

Inisiatif yang serupa juga dilaksanakan di Fiji melalui kempen seperti National Library Week yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Warisan dan Kesenian. Visi utama program ini adalah memberi penumpuan kepada sekolah di kawasan maritim terpinggir dengan menyediakan buku, perabot, dan latihan pengurusan kepada guru serta pustakawan sekolah. Pendekatan sebegini membantu merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar.

Salah satu lonjakan kejayaan program literasi di Pasifik ialah keberanian menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar awal. Organisasi Library For All telah menerbit dan mengedar buku dalam pelbagai bahasa tempatan di Solomon Islands seperti Arosi, Babatana, Roviana, Varisi, dan Pijin. Kajian pendidikan awal kanak-kanak menunjukkan bahawa murid lebih cepat memahami jika mereka belajar membaca dalam bahasa pertama sebelum beralih ke bahasa kedua. Buku yang mengangkat tema cerita tempatan tentang laut, terumbu karang, dan kehidupan nelayan tidak sahaja memudahkan proses pembelajaran, malah meningkatkan rasa bangga terhadap warisan sendiri.

Secara keseluruhan, model intervensi literasi berteraskan lokaliti di Pasifik memberikan tiga pengajaran penting. Pertama, dasar pendidikan tidak hanya menumpukan kepada pembinaan bangunan sekolah. Pihak kerajaan perlu memikirkan perancangan penghantaran bahan yang cekap dan fleksibel mengikut keadaan setempat. Kedua, sokongan komuniti merupakan kunci utama keberhasilan. Tanpa bantuan sukarelawan, guru, dan ibu bapa di kampung, pelaksanaan program celik huruf pasti berhenti di pertengahan jalan. Ketiga, data pencapaian murid perlu dikutip dan diperiksa secara berterusan. Medium seperti PILNA yang dikendalikan SPC sangat membantu penggubal dasar untuk merancang bantuan dengan lebih tepat. Perkara yang paling utama ialah keupayaan sistem menjejaki kelompok yang terasing dan kesediaan masyarakat memikul tanggungjawab mendidik bersama.

Kita dapat melihat bagaimana semangat itu hidup melalui sukarelawan yang mengajar di bawah pokok dengan penuh keikhlasan, seorang ibu yang mengeja perkataan bersama anaknya, dan penduduk kampung yang memastikan kotak buku selamat sampai ke pulau terpencil. Selagi kesungguhan seperti ini masih ada, harapan untuk melihat masyarakat yang berilmu dan bebas daripada buta huruf tidak akan pernah terpadam.


Rujukan:

Secretariat of the Pacific Community [SPC]. (2022). PILNA 2021 regional report. https://www.spc.int/updates/publications/pilna-2021-regional-report

World Bank. (2023, May 18). Raising Pasifika: Strengthening government finances to enhance human capital in the Pacific. https://www.worldbank.org/en/country/pacificislands/publication/raising-pasifika-strengthening-government-finances-to-enhance-human-capital-in-the-pacific

World Vision Solomon Islands. (2016, September 5). Improving literacy in Solomon Islands. https://www.wvi.org/stories/solomon-islands/improving-literacy-solomon-islands

Library For All. (n.d.). Solomon Islands remote literacy initiative. Retrieved September 4, 2025, from https://www.libraryforall.org/solomon-islands


Penulis

  • Alang Shima

    Alang Shima ialah penulis dan penyelidik dari Malaysia yang mengetengahkan karya penulisan serta esei mengenai isu sosial, pendidikan, sains politik dan pembangunan masyarakat. Beliau membumikan wacana penulisannya menerusi penelusuran terhadap karya-karya pemikir kemanusiaan Nusantara seperti Syed Hussein Alatas, Usman Awang, Hamka, Ungku Abdul Aziz dan Pramoedya Ananta Toer. @alangshima (Instagram).

     

     

     


Bagikan Postingan ini


Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

Lebih Banyak Postingan